Tuesday 5 August 2014

Nota : Laras Bahasa

Definisi Laras Bahasa
Umumnya dapat diterangkan sebagai cara penggunaan sesuatu bahasa. Asmah Hj.Omar (1984), berpendapat bahawa laras Bahasa ialah khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya.

·         Laras bahasa boleh didefinisikan sebagai gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi yang ada pada tiap-tiap penutur.

·         Laras bahasa biasanya berubah-ubah mengikut situasi. Ciri-ciri laras yang penting ialah perbendaharaan kata, susunan ayat dan frasa yang digunakan. Sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu.

·         Daripada suatu segi, dapat dikatakan bahawa dengan memilih laras yang tidak sama untuk situasi-situasi yang berlainan, anggota masyarakat dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi sosial yang berlainan yang wujud di sekitar mereka.

Ciri-ciri Laras Bahasa
Laras bahasa dapat digolongkan kepada dua golongan besar, iaitu laras biasa dan laras khusus.
·           Laras biasa ialah laras khusus yang digunakan untuk masyarakat umum seperti bidang hiburan (laporan sukan, berita sukan), pengetahuan dan penerangan (syarahan, rencana), maklumat dan pemujukan (rencana, iklan).
Ø  Tidak melibatkan bidang tertentu, mudah difahami, tiada istilah teknikal, kurang kata pinjaman.
Ø  Gaya ayat sederhana, ringkas dan padat.
Ø  Struktur ayat mudah, contohnya: Di larang memijak rumput.

Laras bahasa biasa terbahagi kepada formal dan tak formal.
Laras Bahasa Biasa
Formal/Rasmi
Tak Formal
Digunakan dalam majlis rasmi, surat kiriman dan sebagainya.
Berlaku proses pengguguran dalam ayat-ayat yang diucapkan sama ada pengguguran subjek, predikat, objek.

      Laras khusus pula merujuk kepada kegunaan untuk khalayak khusus seperti ahli-ahli atau peminat dalam bidang tertentu dan pelajar-pelajar (rencana, laporan, buku).


Perbezaan antara laras bahasa biasa dan laras bahasa khusus :
Golongan laras
Bidang
Situasi
Contoh Bahan
Biasa
Hiburan
Pengetahuan
Maklumat
Upacara/.Majlis
Khalayak Umum
Berita, laporan. iklan, surat peribadi
Ucapan syarahan
Acara majlis umum
Doa, khutbah
Khusus
Doa-khutbah
Teknikal
Ilmiah
Khalayak Umum
Acara majlis rasmi
Rencana, ekonomi, undang-undang, fizik, kimia, dan lain-lain.
Tesis, rencana matematik, biologi, Fizik, Kimiz, Lukisan Kejuruteraan dan sebagainya.

ASPEK AYAT
Ayat Aktif dan Ayat Pasif.

Dari segi makna tidak ada perbezaan yang ketara antara ayat berbentuk aktif dengan ayat pasif. Perbezaannya cuma terletak pada penekanan yang diberikan. Contohnya:

1. Pemburu itu telah menembak rusa jantan.
Dalam ayat tersebut yang diberi penekanan ialah subjek ayat, iaitu pemburu itu. Jikalau ayat ini dipasifkan objek asal iaitu rusa jantan dikedepankan dan diberikan penekanan.
           
a: Rusa jantan telah ditembak oleh pemburu itu.

Manakala apabila frasa yang menyatakan objek pelaku dianggap tidak penting langsung dan digugurkan iaitu frasa pemburu itu. 

b: Rusa jantan telah ditembak.
Dalam ketiga-tiga ayat ini, susunan subjek dan predikatnya dan unsur penguguran bahagian tertentu membawa penekanan yang berbeza kepada laras.

Aspek keformalan bahasa juga dapat dilihat melalui pilihan antara ayat aktif dengan ayat pasif. Ayat pasif biasanya digunakan dalam laporan. Contohnya:

Kajian itu telah dijalankan selama enam bulan. Salah satu dapatan kajian itu adalah bahawa gejala itu tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

Selain itu, bagi menunjukkan dengan lebih jelas penekanan yang berbeza yang dihasikan melalui susunan ayat ialah:

a)    Mereka ke Melaka minggu lalu
b)    Minggu lalu mereka ke Melaka
c)    Ke Melaka mereka minggu lalu


Ayat Pendek dan Ayat Panjang
Kepanjangan ayat juga merupakan satu ciri linguistik yang membezakan  laras. Ayat dibawah memperlihatkan susunan ayat majmuk gabungan yang terdiri daripada rentetan ayat-ayat tunggal pendek. Contohnya:

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan Kampar, Maharaja Jaya nama rajanya, Pekan Tua nama negerinya, asalnya daripada Raja Minangkabau; tiada ia menyembah ke Melaka.

Manakala ayat-ayat panjang yang menjadi kegemaran sebahagian penulis pada masa kini. Contohnya:

Kerajaaan disarankan menubuhkan Kelab Perpaduan di semua sekolah tahun depan, dalam usaha merapatkan hubungan antara pelbagai kaum di kalangan pelajar yang bakal menjadi pemimpin Negara.
                                                           (Berita Harian, 26 Disember 2000)

Dalam contoh ini, binaan ayat agak panjang yang terdiri daripada ayat induk dengan pelbagai bentuk perluasan disamping ayat kecil.
Manakala contoh kedua terdiri daripada ayat majmuk yang berbentuk ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan relatif dan keterangan.Contohnya:

Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan matlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan serta meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang perniagaan masih belum dapat dicapai sepenuhnya.

Jenis-jenis Laras Bahasa Berserta Contoh
.
 1.Laras Biasa

Laras ini merupakan penggunaan bahas yang tidak membabitkan sebarang bidang ilmu atau konteks khusus. Ia biasanya digunakan dalam perbualan seharian. Oleh itu, laras biasa tidak mengandungi istilah atau pola yang khusus.

Contoh : Hai Mat ! Nak ke mana tu? Tak singgah dulu?

2.Laras Bahasa Perniagaan

v  Biasanya digunakan dalam dunia korporat, khususnya bidang
perusahaan, perindustrian, perakaunan, perbankan, perniagaan dan
perdagangan.
Contoh:  Bank Simpanan Nasional (BSN) mencatatkan prestasi di luar
               jangkaan apabila mengaut keuntungan sebelum cukai bagi
               setengah tahun pertama, lebih RM70 juta dan mengatasi
                       keuntungan sebanyak RM 47.754 juta bagi tahun lalu

v  Laras jenis ini kebiasaanya digunakan untuk mengiklankan  jenama barangan yang ingin dijual. Gaya bahasa yang digunakan biasanya memujuk pendengar supaya membeli barangan menerusi cara penyampaian yang menarik sekali.
v  Ayat yang digunakan pendek-pendek dan tidak gramatis.
v  Mempengaruhi penguna untuk membentuk tanggapan tertentu , atau mengubah sikap dan melakukan tindakan.
v  Digunakan dalam iklan, tender, laporan dan sebagainya , disokong pula oleh gambar, lukisan, grafik, ilustrasi dansebagainya.
v  Iklan dapat dihasilkan dengan beberapa cara seperti berikut:

(a) Slogan: Kami Ada Cara
(b) Kaedah Pernyataan: Rumah Untuk Dijual/Disewa
(c) Perkaitan Konsep: Artis X dengan Tilam Jenama Y
(D) Perisytiharan: Waja dengan Aksesori Lengkap
(e) Kaedah Umpan: Beli Satu, Percuma Satu
(f) Mesra: Keutamaan Kami Adalah Pelanggan.
(g) Bandingan: Bateri X Lebih Berkuasa dan Tahan Lama
(h) Gesaan: Cepat! Cepat! Datanglah Beramai-ramai
(i) Pertanyaan: Sakit Pinggang? Sapulah Dengan Minyak Angin Z.

3.Laras Bahasa Akademik
Laras akademik boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan bidang ilmu yang diperkatakan. Antaranaya laras sains, laras ekonomi, laras sastera dan sebagainya. Laras ini kemudiannya terbahagi pula kepada beberapa sub-bidang yang terdapat dalam sesuatu bidang akademik. Misalnya, dalam bidang sains, terdapat laras kimia, biologi dan fizik.

Dalam bidang akademik, laras yang digunakan mudah dikesan dengan kehadiran istilah-istilah teknikal dan khusus yang berkaitan dengan bidang berkenaan.

Contoh  dalam bidang ekonomi : Perubahan dalam pola guna tenaga merupakan gejala yang umum dalam proses pembangunan ekonomi. Lebihan buruh daripada sektor pertanian yang mempunyai daya pengeluaran marginal yang rendah semakin ramai diserap ke dalam sektor industri yang mempunyai daya pengeluaran yang tinggi.


Contoh laras sains dalam bidang biologi :  Sel-sel kelenjar kolon merembeskan mukus yang berfungsi dalam melicinkan pergerakan kandungan kolon ke arah rektum. Tidak terdapat enzim yang dirembeskan di bahagian kolon. Cecair yang dirembeskan bersifat alkali.

 Contoh laras bahasa sains dalam bidang geokimia : Sejauh mana pencarian OH atau H20 pada permukaan bergantung pada pH, seperti yang ditunjukkan dalam rajah 8.11 dan seperti yang diramalkan daripada persamaan 8.21.

4.Laras Bahasa Undang-Undang
Merupakan salah satu daripada laras ilmiah yang terdapat dalam bahasa Melayu sejak zaman dahulu lagi. Bagaimanapun, pada hari ini, laras undang-undang lebih bersifat moden dan banyak menggunakan istilah teknikal.

Contoh : Defenden membantah pada awal prosiding kerana tidak bersetuju dengan cadangan plainitif untuk mengemukakan saksi-saksi yang dikatakan tidak relevan dengan perbicaraan berkenaan.
ContohBarangsiapa yang:-
            a)memberikan kepadanya dirinya sendiri @ menyiksa mana-mana orang lain bertentangan dengan peruntukan seksyen 14 dengan memberikan kepadanya dadah berbahaya yang ditetapkan di bahagian 3 dan 4 dari jadual pertama atau
b) dijumpai berada di mana-mana premis yang telah di khaskan atau di gunakan untuk mana-mana tujuan seperti yang telah di tetapkan dalam seksyen 13 supaya mana-mana dadah berbahaya tersebut boleh diberikan atau atu di hisap atau dengan kaedah lain olehnya adalah bersalah atas suatu kesalahan terahdap akta ini dan jika disabitkan hendaklah di denda tidak lebih dari lima ribu ringgit atau di kenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun.

5.Laras bahasa media
Laras media massa kurang mementingkan gaya atau nahu, khususnya penggunaan imbuhan dan kata hubung.  Berita sebagai satu wacana mempunyai struktur teks yang tersendiri, lain daripada struktur teks cereka, dan lain pula daripada struktur teks esei dan karya ilmiah.
Wartawan atau pengarang akhbar menggunakan bahasa untuk menjelaskan sesuatu menurut cara yang paling mudah diterima sesuai dengan selera sebilangan besar pembaca akhbar.
Tiga ciri penting yang harus ada dalam berita akhbar yang baik ialah:
·         Pertama - bahasa yang digunakan mudah.
·         Kedua - gaya tulisan yang jelas dan
·         Ketiga - isi tulisan mestilah tepat. Oleh sebab akhbar diterbitkan untuk orang ramai, maka bahasa akhbar haruslah sesuai dengan bahasa kegunaan orang ramai.
Bahasa yang digunakan bersahaja dan bersifat melaporkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Bahasanya juga ringkas dan mengandungi berita yang maksimum untuk dipaparkan kepada pembaca dan penonton
 Contoh : Perak menjuarai kejohanan bola sepak Piala Malaysia 1998 selepas menewaskan Terengganu dengan jaringan tipis 1-0 di Stadium Nasional malam tadi. 
Ayat yang panjang, mengandungi beberapa klausa, menggunakan petikan, metafora, kiasan, istilah teknik, dan sebagainya haruslah dielakkan.


6.Laras Bahasa Sastera
Memperlihatkan gaya bahasa yang menarik dan kreatif.
Bahasanya boleh dalam bentuk naratif, deskriptif, preskriptif, dramatik dan puitis.
Beberapa ciri bahasa sastera:
a kreatif dan imaginatif: kabur mesej
b. mementingkan penyusunan, pengulangan, pemilihan kata
c. puitis dan hidup,: monolog, dialog, bunga-bunga Bahasa dan sebagainya.
d. menggunakan bahasa tersirat: perlambangan, kiasan, perbandingan, peribahasa, metafora, simile, personifikasi, ilusi, ambiguiti dan sebagainya.
e. terdapat penyimpangan tatabahasa atau manipulasi bahasa.
 Contoh : Apabila berbicara mengenai kesusasteraan, kita sebenarnya akan membincangkan beberapa aspek seperti tema, kronologi, mesej yang ingin disampaikan, watak dan perwatakan unsur termasuk personifikasi dan metafora.
Contoh  novel : Perkarangan tempat menunggu di Unit Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kelihatan lengang. Qasdina yang sudah hampir 15 minit tiba, sekadar menyepikan diri di deretan bangku-bangku kosong yang terdapat di situ. Air matanya sudah lama kering. Penantiannya bagaikan tiada jawapan.

7. Laras Bahasa Agama
Mengandungi istilah agama daripada bahasa Arab
Struktur ayatnya banyak dipengaruhi struktur bahasa Arab
Diselitkan dengan petikan daripada al-Quran dan hadis.
Contoh (doa) : Wahai Tuhan kami,kami meminta daripada Engkau kesejahteraan dalam agama, kesihatan tubuh badan, keberkatan rezeki, keampunan sebelum mati, rahmat pada  kala mati, dan keampunan selepas mati. Wahai Tuhan kami, senangkanlah kami waktu menghadapi kematian dan lepaskan kami dari neraka dan anugerahi kami kemaafan pada waktu perkiraan.

8.Laras Bahasa Sukan
Berkaitan dengan aktiviti-aktiviti dan kegiatan sukan.

Contoh : Sistem liga merupakan satu-satunya format pertandingan yang paling digemari oleh pihak penganjur dan para peserta dalam permainan sukan berpasukan. Dalam sistem ini setiap pasukan akan bertemu seberapa banyak yang mungkin dengan pasukan yang lain bergantung kepada bilangan ahli kumpulan masing-masing.


9.Laras Bahasa Sains Komputer

Mengandungi istilah-istilah berkaitan dengan peranti komputer dan siber.

Contoh : Aktiviti penyelenggaraan komputer peribadi (PC) sering dianggap remeh, kerana sifatnya yang agak membosankan meskipun aktiviti ini penting. Seperti perkakasan, senggaraan secara berterusan juga perlu untuk perisian ,sistem operasi (OS), program dan data.

PENUTUP
Laras bahasa merupakan suatu yang amat penting dalam kehidupan seharian kita. Jumlah laras sesuatu bahasa mencerminkan keadaan bahasa itu menjadi ukuran maju mundurnya sesuatu bangsa. Sebagai contoh perbandingan jumlah bahasa Melayu sebelum dan selepas merdeka, sudah dapat membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang pesat. Bidang pengungkapan bahasa Melayu bertambah dengan banyaknya yang dahulunya diperkatakan dalam bahasa-bahasa lain khususnya bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Negara dan juga bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi.

Oleh itu, penutur bahasa Melayu haruslah mengenali laras-laras bahasa Melayu. Malah hendaklah tahu membezakan antara laras tersebut, ciri-ciri utama laras tertentu, terutama laras formal dan juga laras tidak formal. Maka, sudah tentu tidak mengalami masalah menggunakan laras sesuai dengan situasi. Ini amat penting bagi yang amat visible dari segi penggunaan bahasa seperti pemimipin yang terlibat dalam saluran media elektronik. Oleh itu amat penting bagi golongan ini menggunakan laras yang sesuai dalam bentuk yang sempurna.

Sebahagian laras merupakan laras baharu, oleh itu laras-laras itu haruslah dipelajari sebagai suatu kemahiran. Hal ini menghairankan banyak pihak terutamanya orang Melayu itu sendiri. Sesetengah orang Melayu berpendapat bahawa mereka tidak perlu lagi belajar perkara seperti ini.  Laras bahasa Melayu moden, terutama laras formal dan rasmi merupakan laras khusus yang tidak menjadi sebahagian kehidupan rasmi. Bahasa yang digunakan adalah bahasa tidak formal.

Supaya masyarakat benar-benar menguasai bahasa kebangsaan mereka sendiri, pembelajaran laras bahasa dalam bahasa Melayu haruslah dimulakan di bangku sekolah bukannya baru di institut pengajian tinggi


No comments:

Post a Comment